Kamachan Syashin Story

 
Kisah Lalu
Capaian
Rangkaian
Menarik
Tsuyu.
01 July 2007
Titis-titis pertukaran musim, Tsuyu. Di antara musim yang biasa disebut selain daripada 4 musim yang ada dalam setahun. Musim Tsuyu tidak banyak diletakkan di dalam kalendar bagi mereka yang bekerja di dalam bangunan, tetapi bagi mereka yang senantiasa memerah keringat di luar sana, pastinya Tsuyu ini menjadi kawan atau lawan bagi mereka.

Tsuyu biasanya dikaitkan dengan rahmat tuhan bagi petani-petani yang amat mengharapkan agar bendang atau kebun mereka di simbahi titisan keramat ini. Mengharapkan agar tanaman mereka akan terus hijau keranuman. Namun begitu ianya kadang kala menjadi musuh kepada mereka yang tinggal di lereng bukit atau bersebelahan sungai. Titisan keramat ini akan menjadi lebih keramat apabila kehadiran gugusan awan hitam datang dengan mencurahkan limpahan yang diserap semasa perjalanannya ke muka bumi ini. Sekaligus kekeramatan mereka menjadi malapetaka kepada penduduk di kawasan yang diwartakan sebagai zon bencana alam.

Sudah menjadi kepercayaan turun temurun bagi penduduk disini, kehadiran Teruteru-bozu yang sentiasa menjengah ke luar birai, mendokan agar Tsuyu ini tidak berpanjangan. Beliau akan setia menantikan pancaran sinar mentari akan terpercik menembusi gugusan awan hitam, lalu memberikan suatu detik indah di sempadan langit biru dan awan hitam. Kelembutan kabus kelihatan terwap dari bukit, seolah-olah Tsuyu ingin melambaikan pemergiannya buat seketika kepada Teruteru-bozu.

Tsuyu tidak akan pergi tanpa sebarang kenangan. Tsuyu tidak pernah lupa untuk mengingatkan makhluk-makhluk kerdil di muka bumi ini agar mencerminkan diri mereka kembali dengan merendahkan diri melihat ke bawah. Tsuyu juga tidak pernah memungkiri janji untuk datang pada setiap tahun, menjalankan amanatnya. Peringatan dan kitaran ini membuatkan saya benar-benar redha kepada kebesaran Ilahi melalui ciptaanNya "Tsuyu".
posted by Kamachan 11:19 PM   |